Tuesday, December 23, 2008

KENANGAN DI KELLIE'S CASTLE




Saya dah banyak kali berkunjung ke Kellie's Castle di Batu Gajah, Perak. Namun, kunjungan bersama keluarga pada tahun 2007 paling bererti dalam hidup saya. Tak pernah saya menduga kunjungan kali ini akan menjadi sebuah sejarah.

Ketika hendak mengambil gambar anak saya berlatarbelakangkan istana, saya telah terpandang suatu objek ganjil pada sebatang pokok. Apabila diamati, saya dapati objek tersebut berbentuk seekor beruang yang sedang memeluk sebatang pokok. Tanpa membuang masa saya terus merakamkan gambar tersebut.

Inilah gambar yang saya rakamkan.



Saya maklumkan penemuan ini kepada Encik Tajuddin, orang yang bertanggungjawab menguruskan Kellie's Castle. Beliau cukup gembira dengan penemuan ini dan berharap ini akan menjadi tarikan terbaru istana bersejarah itu. Beberapa hari kemudian, berita saya menemui pokok beruang tersiar di akhbar Kosmo.

Ramai kawan-kawan yang menghubungi saya untuk mengetahui cerita penemuan misteri itu. Saya cakap dengan kawan-kawan, kalau nak tahu lebih lanjut, berkunjunglah ke Kellie's Castle. Saya difahamkan, sejak penemuan itu, pelancong-pelancong yang melawat Kellie's Castle tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan pokok tersebut.

Antaranya termasuklah Husna dan rakan-rakannya. (Gambar Husna dan rakan-rakannya bersama pokok beruang boleh dilihat di http://yelloue.blogspot.com/2008/05/caving-and-castling.html.



Saya berbangga kerana dapat menyumbangkan sesuatu kepada Kellie's Castle yang saya amat kagumi selama ini.Ini adalah penemuan bersejarah saya yang kedua. Sewaktu remaja saya telah menemui Makam Tengku Anum yang ketika itu terbiar dan tersembunyi di dalam belukar. Bab ini akan saya ceritakan kemudian.

Monday, December 15, 2008

KINTA





Filem Kinta sedang ditayangkan di pawagam di seluruh negara. Kalau ada masa jemputlah menonton. KINTA adalah filem kantonis tempatan. Diterbitkan oleh Blackbox Pictures dan diarahkan oleh CLHor.

Antara pelakon yang membintangi KINTA adalah Juara Wusyu Dunia Ho Ro Bin, Juara Wusyu Kebangsaan, Michael Chin, Kuan Fei Jun dan Shawn Lee serta Juara Taici dari Beijing David Bao. Turut berlakon adalah Patrick Teoh, Anita Kwan dan ramai lagi. Saya turut diberi kesempatan untuk memegang watak Penghulu Tok Mat yang menyelamat serta merawat 4 hero yang cedera.
Zulkifli Ismail bersama Ho Ro Bin, Juara Wusyu Dunia dan pelakon utama KINTA

Walaupun wataknya kecil tapi cukup bermakna. Berikut saya petik komen Rachel Chan mengenai watak saya.

Nevertheless, there are interesting points which deserve to be plucked. Among these are Penghulu Tok Mat and his band of brothers who provide refuge for the wounded heroes after they are betrayed by the evil tycoon, an uncommon factor in kungfu films. Where else can you get a Penghulu in a wuxia yarn? For it is where our Malay friends come in that the heroes learn a new skill in addition to kungfu, which is how to use a "damak".

Wednesday, November 19, 2008

FOTO TERAWAL


Ini adalah foto terawal yang ada dalam simpanan saya. Ketika itu umur saya 5 tahun. Saya tak pasti samada pernah bergambar sebelum itu atau tidak. Maklumlah pada masa itu, kamera adalah barang mewah. Tak ramai orang kampung saya ada kamera. Kata emak saya, ada juga pakcik-pakcik yang bawa kamera datang nak ambil gambar saya, tapi saya lari, takut dan malu bergambar. Camera shy lah katakan.

Gambar ini diambil di sebuah kedai gambar di Alor Setar. Mungkin kedai tu pun dah tak wujud lagi sekarang ni.

Monday, November 17, 2008

BASIKALKU LAKONAN PERTAMA



Anak-anak saya hampir tak kenal siapa orang di dalam gambar ini.Terlalu jauh berbeza. Waktu itu umur saya 23 tahun. Tengah muda remaja. BASIKALKU adalah drama TV pertama saya. Skrip karya Mansor Puteh dan diarahkan oleh Adman Salleh.

BASIKALKU juga drama pertama yang mengisi slot Cerekarama TV3. Pada waktu itu TV3 hanya dapat ditonton di Lembah Kelang dan Ipoh. Antara pelakon lain yang terlibat dalam drama tersebut termasuklah Allahyarham Faridah Abdullah, Sani Sudin, Allahyarham Nasir Ali dan Allahyarham Yusof Akib.

Sebagai pelakon baru saya bersyukur kerana 'ditangani' oleh Adman. Walaupun penggambarannya memenatkan, tapi ternyata hasilnya memuaskan. Garang Adman membentuk disiplin saya, cerewet Adman membuka minda saya. Terima kasih Adman.