Friday, July 24, 2009

PENGALAMAN BERLAKON SEBAGAI PEREMPUAN







Ramai kawan-kawan dan peminat masih bertanya tentang lakonan saya sebagai perempuan, walaupun drama tu ditayangkan di tv kira-kira 20 tahun lalu. Mungkin kerana saya adalah diantara artis lelaki Malaysia yang paling awal melakonkan watak perempuan. Malah lebih awal daripada Dustin Hoffman yang berlakon sebagai perempuan dalam Tootsie.

Tajuk drama tu PENGASUH. Pengarahnya AB AMKAH dan diterbitkan oleh NR Productions. Pelakon-pelakon lain termasuklah TANTIANA HAMZAH, AIDA SALMAH, MEOR AHMAD ZAUDI, EFFA ISMAIL dan RADEN ZAIHAN (GHANI MARTOPO).

Dalam drama tersebut saya berlakon sebagai seorang pemuda bersama Zahid yang dah penat mencari kerja tetapi masih gagal. Pada suatu hari Zahid ternampak notis PEMBANTU RUMAH DIKEHENDAKI dan cuba memohon, tetapi malangnya, kata tuan rumah tu jawatan itu hanya untuk perempuan. Kata tuan rumah tu lagi (lakonan Aida Salmah), lelaki tak pandai jaga budak.

Zahid rasa tercabar. Keesokannya Zahid datang lagi ke rumah tu, tetapi kali ini, dia menyamar sebagai perempuan bernama Zahidah dan berjaya mendapat pekerjaaan tersebut. Zahid jatuh hati dengan orang gaji rumah sebelah (lakonan Tantiana) dan dalam masa yang sama suami tuan rumah (lakonan Meor Ahmat Zaudi) pula jatuh hati dan menggoda Zahidah.

Itu kali pertama saya berlakon sebagai perempuan dan ini pula kali kedua.


Kali ini untuk drama TAK LOGIK arahan Tony Francis Gitom terbitan KUASATEK PICTURES. Saya berlakon sebagai isteri dan Aida rahim sebagai suami. Bagaimanapun itu cuma untuk babak mimpi.

TAK LOGIK mengisahkan mengenai masalah yang timbul apabila gaji isteri jauh lebih tinggi daripada suami. Saya dan Aida Rahim adalah sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak istimewa. Memandangkan gaji saya lebih rendah, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak. Setiap hari, Aida keluar ke pejabat dan saya akan melakukan semua kerja-kerja rumah, termasuk memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian.

Sebagai seorang wanita yang berjawatan tinggi, Aida sering balik lewat. Saya menunggunya di sofa sampai tertidur.Ketika itulah saya bermimpi. Dalam mimpi tersebut, saya merasakan rumahtangga kami dah terbalik. Seolah-olah saya ni isteri dan Aida suami.

Thursday, July 9, 2009

MENGENANG TOK ITAM - MOYANG SAYA



ITAM BIN HAJI OSMAN
(1887 - 1947)

Allahyarham Itam bin Haji Osman adalah moyang saya yakni bapa kepada datuk sebelah mak saya. Allahyarham dilahirkan dalam tahun 1947 dan meninggal dunia pada 13 Jun 1947 ketika berusia 60 tahun. Beberapa minggu yang lalu, pada 13 Jun 2009, genaplah 62 tahun Allahyarham kembali ke rahmatullah.

Gambar ini saya perolehi daripada Pilgrim Pass For Mecca milik Allahyarham yang kini berada dalam simpanan saya. Allahyarham meninggal dunia beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji.

Tak banyak maklumat tentang Allahyarham yang saya tahu. Sepanjang pengetahuan saya, Allahyarham dilahirkan di Kampung Gunong, Kedah dan menetap di Kampung Permatang, Mukim Gunong. Keturunan Allahyarham dikatakan berasal dari Perak. Allahyarham juga mempunyai ramai saudara mara di Juru, Pulau Pinang.

Allahyarham mendirikan rumahtangga dengan Hambiah binti Junus dan dikurniakan 4 orang anak iaitu Aishah (Tok Wa Cah), Abdullah (Tok Lang Haji Lah), Saad (datuk saya) dan Mat Akhir (Tok Cik). Kesemua anak Allahyarham telah meninggal dunia termasuk datuk saya yang kembali ke rahmatullah pada 1 September 1992.