Tuesday, September 28, 2010

TERTAWAN





Setelah sekian lama 'hilang' dari dunia seni, kini pengarah Baharuddin Kader kembali Produk terbarunya drama 13 episod TERTAWAN akan menemui penonton tidak lama lagi. TERTAWAN sebuah cerita korporat yang lain dari yang lain.

Terima kasih Baharuddin kerana memberikan saya peluang untuk turut serta dalam drama ini. Kali terakhir saya berlakon di bawah arahan Baharuddin adalah drama Allen Allien Sofian kira-kira 20 tahu lalu.

Dalam TERTAWAN saya berlakon sebagai Datuk Deraman Akil yang mempunyai seorang anak gadis bernama Kathy. Datuk Deraman seorang yang kuat membaca dan mempunyai pegangan falsafah yang kuat.

TERTAWAN dibintangi oleh Eman Manan, Faizal Hussain, Mardiana Alwi, Atya, Wak Rozaidi dan ramai lagi.



Apa yang menariknya, dalam drama ini saya terpaksa menari tango. Tak tahulah macam mana rupanya orang tua menarik tango.

SEKOLAH INGGERIS GUNONG



Inilah sekolah pertama saya. Dulu dikenali sebagai Sekolah Rendah Inggeris Gunong, sekarang ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan SRI Gunong. Perkataan SRI adalah singkatan kepada Sekolah Rendah Inggeris. Sebab itulah ejaannya SRI dan bukannya SERI.

Saya belajar di sini mulai tahun 1970 hingga 1975. Dah 35 tahun saya meninggalkan SRI Gunong.Setiap kali balik kampung saya pasti akan melintasi sekolah ini kerana ia terletak di jalan utama ke rumah arwah ayah saya.Setiap kali melewati SRI Gunong, seluruh jiwa dan fikiran saya akan melayang jauh ke zaman silam.

Hati saya dicengkam rindu yang amat sangat. Rindukan kawan-kawan, rindukan guru-guru dan rindukan zaman kanak-kanak.Banyak peristiwa pahit dan manis berlaku sepanjang 6 tahun berada di sekolah ini. Dari cerita lucu Prepan berak dalam seluar hingga cerita sedih Sabariah mati dilanggar kereta di hadapan sekolah. Semuanya segar dalam ingatan.