Wednesday, January 7, 2009

TERINGAT BUBUR ASYURA

Semalam, 10 Muharram adalah Hari Asyura. Di kampung saya, biasanya Hari Asyura disambut dengan membuat bubur asyura. Penduduk kampung akan membawa bahan-bahannya dan kemudian memasak bubur secara gotong royong. Biasanya majlis akan diadakan di Madrasah Al-Falah, surau di mana imamnya, Haji Zakaria Haji Mat Saman adalah tok sedara saya. Beliau merupakan Tok Guru Pondok Haji Keriya.

Sewaktu zaman kanak-kanak, saya dan rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan Hari Asyura. Kami akan turut menyibuk bersama-sama orang dewasa. Apabila bubur hampir masak, kami akan berlumba-lumba berkumpul di sekeliling kawah kerana tak sabar nak menikmati keenakannya.Bubur Asyura sedap dimakan sewaktu masih cair.

Kami kena bawa mangkuk sendiri. Tapi bagi kanak-kanak seperti saya, kami jarang membawa mangkuk, sebaliknya tempurung kelapa, daun pisang atau daun keladi dijadikan bekas untuk mengisi bubur asyura. kalau lambat tak berpeluang merasa bubur yang masih cair. tapi awas, salah hemat, boleh melecur lidah.

Bubur Asyura dibuat bagi mengenang peristiwa Nabi Nuh AS dan pengikut baginda yang selamat berlabuh di Bukit Juudi selepas mengharungi banjir besar. Pada waktu itu, semua bahan makanan hampir habis. Nabi Nuh mengarahkan pengikutnya supaya semua bahan-bahan yang masih tinggal dikumpul dan dimasak. Maka jadilah bubur asyura.

Sebenarnya, dalam sejarah Islam banyak peristiwa penting berlaku pada 10 Muharram. Antaranya:

  • Allah SWT menjadikan ’Arasy;

  • Allah SWT menjadikan Lauh Mahfuzh;

  • Allah SWT menjadikan Qalam;

  • Allah SWT menciptakan alam;

  • Hari pertama Allah SWT menurunkan rahmat;

  • Hari pertama Allah SWT menurunkan hujan dari langit;

  • Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril;

  • Nabi Adam a.s. bertaubat kepada Allah SWT dan taubatnya diterima sehingga dia bersih dari segala dosa dan kesalahan;

  • Nabi Idris a.s. diangkat oleh Allah SWT ke langit;

  • Nabi Nuh a.s. berlabuh bahteranya setelah mengharungi banjir yang melanda bumi selama 6 bulan;

  • Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan dari api Raja Namrud;

  • Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk beberapa tahun akibat fitnah Zulaikha;

  • Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan nun setelah berada dalam perutnya selama 40 hari;

  • Nabi Daud a.s. diampuni Allah SWT;

  • Nabi ’Isa a.s. dinaikkan kelangit sewaktu dikejar kaum pelampau Yahudi yang ingin membunuhnya;

  • Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya, dengan membelahkan Laut Merah sebagai laluan untuk melepaskan dari dikejar oleh Fir’aun dan bala tenteranya;

  • Allah SWT menurunkan Kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s.;

  • Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan dengan sebuah kerajaan yang besar;

4 comments:

Pyanhabib said...

waw, jam rolex biru!
*tumpang lalu! :)

afandi said...

Assalamualaikum,
Salam Ziarah.

Nostalgia sungguh cerita 'bubog sora', apa lagi guna tempurung nyog, kikis hingga licin untuk masukkan bubog sora masa masih panaih. Kalau nak bagi sejuk bawa ke sungai dan rendam di bawa arus sebentar sehingga beku.

ada satu lagi, pasangan tempurung yang mungkin Tuan lupa,di kampong saya kami gunakan 'daun nenas' yang dipotong menyerupai sudu/camca untuk mencedok bubog sora yang masih panas.

#mohon add link blog Tuan ke blog saya.Wassalam

PONDOK IMPIAN RESORT said...

Sebenarnya cerita tentang bubur asyura tidak ada kena mengena dengan Kisah Nabi Nuh. Cerita ini datang kemudian yang dipercayai sebuah kisah yang direka oleh golongan Syiah. Kisah Nabi Nuh terdapat banyak di dalam Quran dan tidak ada disebutkan sekalipun dalam Al Quran tentang 'bubur asyura'. Dan dalam hadis Rasulullah juga tidak pernah diceritakan tentang peristiwa 'bubur asyura'. Jadi kita sebagai orang Islam hanya perlu mempercayai tentang bubur asyura sebagai satu budaya sahaja dan ianya tidak ada kena mengena dengan agama. Wallah hu taala a'lam

PONDOK IMPIAN RESORT said...

Bulan Muharam - Elakkan sebarang kepercayaan karut
Oleh ABD AL-RAZZAQ A.MUTHALIB

KESEDARAN umat Islam mengisi kedatangan bulan Muharam yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik.

Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat, iaitu semoga ia akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak.

Namun, peringatan Nabi s.a.w. di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja.


Daripada Aisyah r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama), maka ia akan tertolak. (Riwayat Muslim).

Sebab itulah para ulama, di antaranya ialah al-Fudhail bin `Iyadh meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah s.w.t. dan bertepatan dengan sunah Rasulullah s.a.w. Al-Fudhail mentafsirkan firman Allah di dalam surah Hud ayat 8 dan surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud:

Allah menjadikan semua itu untuk menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya,'' beliau berkata: Iaitu yang lebih ikhlas dan lebih tepat. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak tepat, maka ia tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, maka ia juga tidak akan diterima, sehinggalah ia dilakukan dengan ikhlas dan tepat.

Beliau berkata lagi: Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah `Azza wa Jalla, dan yang dikatakan tepat itu ialah ia bertepatan dengan sunah. (Ibn Rejab, Jami' al-Ulum wa al-Hikam, Tahqiq: Dr. Yusof al-Baqa'i (Beirut: al-Maktabah al-'Asriah, cet. ke-3, 2000), hal.15)

Justeru, dalam keghairahan kita menambahkan amal ibadah di dalam bulan Muharam yang mulia ini, marilah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji dan menyemak semula, adakah amalan-amalan yang kita lakukan itu menepati syarat-syarat yang telah digariskan.

Di antara amalan-amalan pada bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih ialah:

1. Memakai celak pada hari Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu' (palsu) yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari Asyura, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). Ibn al-Jauzi, al-Maudhu'at, 2/116)

Hadis ini hukumnya maudhu' (palsu). Imam Ahmad berkata: ``Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah s.a.w. tentang amalan memakai celak pada hari Asyura, dan ia adalah bidaah.''

2. Solat sunat yang khusus pada hari Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu': ``Sesiapa yang sembahyang padanya (hari Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad), maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun.''

3. Mandi yang khusus pada hari Asyura dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang penyakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu': ``Sesiapa yang mandi dan bersuci pada hari Asyura, ia tidak akan ditimpa sebarang penyakit pada sepanjang tahun, kecuali mati.''

4. Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari Asyura dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman dan pakaian) kepada ahli keluarganya pada hari Asyura, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki sepanjang tahunnya. Hadis ini hukumnya maudhu', disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu'at,2/115).

5. Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur Asyura) yang dikaitkan dengan sunah Rasulullah s.a.w. atau disandarkan kepada peristiwa Nabi Nuh a.s. yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar.

Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ia bersumberkan cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab Qashas al-Anbiya.

6. Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas, sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam.

Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

As-Syiekh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' menyebut bahawa kebanyakan hadis maudhu' yang berkaitan dengan amalan pada bulan Muharam khususnya pada hari Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh Husain.

Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-'Izz al-Hanafi: ``Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi s.a.w. sebarang amalan pun pada hari Asyura selain puasa Baginda.

Ada pun golongan Rafidhah melakukan bidaah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan Husain pada hari ini.

Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan daripada biji-bijian (bubur) dan memakai celak, dan mereka meriwayatkan hadis-hadis maudhu' tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga.''

(Syiekh Ali Mahfuz, al-Ibda' fi Madhar al-Ibtida' (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001), hal. 271)

Demikianlah beberapa contoh daripada amalan-amalan umat Islam di dalam bulan Muharam ini yang tidak bersumberkan sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih, mahu pun para sahabat dan para Imam kaum Muslimin.

Justeru, jalan yang terbaik ialah dengan mengikuti sunah Baginda s.a.w. dan seburuk-buruk perkara pula ialah mencipta sesuatu yang baru di dalam urusan agama. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah s.w.t. untuk mengikuti sunah Rasulullah s.a.w.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm