Wednesday, November 19, 2008

FOTO TERAWAL


Ini adalah foto terawal yang ada dalam simpanan saya. Ketika itu umur saya 5 tahun. Saya tak pasti samada pernah bergambar sebelum itu atau tidak. Maklumlah pada masa itu, kamera adalah barang mewah. Tak ramai orang kampung saya ada kamera. Kata emak saya, ada juga pakcik-pakcik yang bawa kamera datang nak ambil gambar saya, tapi saya lari, takut dan malu bergambar. Camera shy lah katakan.

Gambar ini diambil di sebuah kedai gambar di Alor Setar. Mungkin kedai tu pun dah tak wujud lagi sekarang ni.

Monday, November 17, 2008

BASIKALKU LAKONAN PERTAMA



Anak-anak saya hampir tak kenal siapa orang di dalam gambar ini.Terlalu jauh berbeza. Waktu itu umur saya 23 tahun. Tengah muda remaja. BASIKALKU adalah drama TV pertama saya. Skrip karya Mansor Puteh dan diarahkan oleh Adman Salleh.

BASIKALKU juga drama pertama yang mengisi slot Cerekarama TV3. Pada waktu itu TV3 hanya dapat ditonton di Lembah Kelang dan Ipoh. Antara pelakon lain yang terlibat dalam drama tersebut termasuklah Allahyarham Faridah Abdullah, Sani Sudin, Allahyarham Nasir Ali dan Allahyarham Yusof Akib.

Sebagai pelakon baru saya bersyukur kerana 'ditangani' oleh Adman. Walaupun penggambarannya memenatkan, tapi ternyata hasilnya memuaskan. Garang Adman membentuk disiplin saya, cerewet Adman membuka minda saya. Terima kasih Adman.

Wednesday, April 25, 2007

SALAM PERKENALAN

ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA.

POHON SELASIH DI DALAM TAMAN
MARI DIPETIK DARA JELITA
TERIMA KASIH RAKAN DAN TEMAN
SUDI SINGGAH DI BLOG SAYA

Hari ini (26 April)genap 44 tahun saya berada di bumi Allah ini.44 tahun bukanlah masa yang singkat.Sepanjang perjalanan 44 tahun itu, berbagai peristiwa telah saya tempuhi.Segala memori pahit dan manis dan segala catatan suka dan duka akan tetap kekal dalam kotak kenangan.

Kata William Faulkner The past is not dead. In fact, it's not even past.

Saya bertuah kerana selain bidang lakonan, saya pernah berada dalam banyak bidang lain seperti sastera, kewartawanan, pertubuhan belia dan NGO. Setiap bidang mempunyai onak dan duri yang berbeza.

Sepanjang perjalanan ini juga saya temui berbagai ragam manusia. Semua catatan kenangan sepanjang perjalanan 44 tahun ini akan saya abadikan dalam SEPANJANG JALAN KENANGAN