Wednesday, May 5, 2010

BUAH JANGGUIH @ GAJUS.

Diam-diam tak diam rupanya dah 6 bulan saya tak update blog. Sebenarnya awal tahun ni agak sibuk dengan penggambaran. Alhamdulillah. Sepanjang bulan Mac yang lalu saya di Perlis untuk penggambaran drama Kiah Pekasam. Drama tu sedang ditayangkan di Astro Warna setiap Isnin jam 9.00 malam.

Saya bukan nak cerita tentang drama tu, tapi tentang sejenis buah yang telah mengembalikan nostalgia.



Kenal dengan buah tu kan? Buah tu ada banyak nama. Secara umumnya ia dipanggil gajus atau nama saintifiknya Anacardium occidentale.Di kampung saya ia dikenali dengan nama jangguih (janggus). Di tempat lain namanya pun lain seperti ketereh (Kelantan), jambu golok (Terengganu), kaju (Hindi), yaoguo (China), mundhiri (Tamil),mamuang himmaphan (Thailand) caju (Portugis), kacang mete (Indonesia) dan lain-lain lagi.



Sewaktu kecil saya selalu panjat pokok gajus dengan membawa sedikit garam dan pisau lipat kecil (pisau 5 duit). Kat atas pokok saya petik buah yang masak, potong dan cicah dengan garam. Terus ngap. Memang sedap. Tapi awas kalau tak pandai boleh melecur mulut terkena getahnya. Lepas makan buah, saya kumpul bijinya dan bawa balik untuk dibakar.

Sewaktu remaja, ketika tinggal di Langkawi, hampir setiap petang saya akan ke Pantai Chenang untuk makan buah gajus. Tapi sekarang pokok gajus di Pantai Chenang hanya tinggal kenangan. Semuanya musnah dilanda pembangunan.

Salah satu set penggambaran Kiah pekasam adalah tempat lepak di bawah pokok gajus. Kebetulan buah gajus tengah masak. Apa lagi...saya terus petik dan makan.Alahai...terkenang zaman dulu.



Buah gajus bukan saja sedap dimakan mentah. Ia juga sedap kalau dibuat pajeri, kerabu ataupun dimasak sebagai sayur. Daunnya pula boleh dibuat ulam.

Apabila balik ke Kuala Lumpur, saya bawa balik sedikit buah gajus untuk anak-anak. Rupa-rupanya anak-anak saya cuma kenal cashew nut tapi tidak kenal buah gajus. Bukan itu saja, mereka juga suka makan cashew nut tapi tidak suka buah gajus. "Kelat" kata mereka.

Alahai...saya terlupa, zaman dah berubah.

3 comments:

Syahazli said...

Lama sungguh abang Zul tak update blog ni dan nostalgia sungguh buah jangguih ni, dulu di Perlis senang dapat buah dan pokok jangguih ni. Terliur bila baca cerita buah ni di sini, nanti bila saya balik Perlis boleh pi cari.....entah boleh dapat ka tidak.... :-)

AloyCaricature said...

sedap tu zul.

xxray said...

dah lamer tak tgk buah janggus nie... mmg nostalgia. dulu kat kg ada, tp skg semua dah kena tebang